Mungkin tiada gadis di negara ini yang sanggup bersuamikan seorang pemuda yang dipenuhi ketulan dan gelembung-gelembung di seluruh tubuh seperti lelaki di atas.
Namun pada Farhatun Nisa, dia tidak pernah menyesal diijabkabulkan dengan Muhammad Umar pada 34 tahun lalu setelah bercinta dengan suaminya itu untuk beberapa lama.
“ Saya dapat rasakan ketika itu bahawa Umar memang seorang lelaki yang baik, dia sangat penyayang dan murah hati. Keluarga saya ada memberi amaran tentang masa depan saya yang kelam, malah mereka dapatkan pandangan doktor pakar bagi pihak saya, tapi saya sanggup tanggung risiko tersebut,” kata wanita tabah itu yang kini berusia 45 tahun.
Bagi Umar pula, tiada yang lebih memeritkan di dalam hidupnya apabila dilayan masyarakat setempat seolah-olah dirinya lebih hina dari ‘anjing kurap’.
Umar memberitahu bahawa bukan mudah untuk dia membina sebuah keluarga sebagai suami dan ayah yang baik memandangkan dirinya yang selalu dipandang jijik oleh masyarakat.
Lelaki yang berasal dari Hyderabad, India, itu pada asalnya berkerja sebagai pembantu mengangkat bagasi penumpang di sebuah stesen keretapi, namun diberhentikan majikannya apabila para penumpang tidak membenarkan dia mengangkat bagasi mereka.
“Saya cuba untuk mencari pekerjaan lain tetapi orang sering menghalau saya sambil memperlihatkan wajah menjengkelkan, saya rasa begitu terhina,” keluhnya sedih dengan keadaan itu.
Bagaimanapun, dia akhirnya diambil bekerja sebagai pekerja sementara di sebuah sekolah berdekatan kediamannya namun tidak kekal apabila diberhentikan kemudian.
Sehingga kini, Umar terpaksa mengemis di kaki lima menagih simpati orang ramai yang lalu lalang mengharapkan sesuap nasi untuk diri dan seisi keluarganya.
“Saya selalunya dimaki hamun dan ditolak dengan keras oleh orang ramai, atau saya akan menerima sedikit wang dari mereka yang simpati. Itulah saja yang saya mampu buat untuk menyara keluarga saya,” ratibnya hiba mengenang perlakuan masyarakat padanya.
Menurut lelaki berusia 62 tahun itu, tumor-tumor itu mula ‘menjajah’ tubuhnya sejak dia berusia 14 tahun dan kemudian perlahan-lahan semakin teruk meliputi di seluruh tubuh badannya.
Umar memberitahu bahawa dia dilahirkan tanpa sebarang cacat cela, namun ibunya mempunyai ketulan-ketulan yang sama yang hanya bertumpu di sekitar tangan sahaja.
“Saya dilahirkan dengan kulit yang gebu dan licin. Saya tak perasan ia mula tumbuh ketika saya berusia 14 tahun dan ibu yang tersedar mengenainya membawa saya menemui doktor,” katanya.
Menurutnya lagi, ketika ketulan-ketulan itu semakin ‘bermaharajalela’ditubuhnya pada usia 20’an, doktor memberitahu bahawa penyakitnya itu mampu diwarisi oleh zuriatnya sekiranya berkahwin kelak dan ia menimbulkan dilema terhadap dirinya untuk menamatkan zaman bujang.
Namun segalanya berubah apabila bertemu dengan Farhatun Nisa pada usia 28 tahun dan mengahwini gadis idamannya itu setelah bercinta sejak beberapa lama.
Pasangan bahagia itu dikurniakan empat orang anak iaitu seorang anak perempuan Shama, 25, yang sudah berkahwin dengan seorang pemuda tempatan dan tiga anak lelaki iaitu Mohammad Hussain, 20, Mohamad Subani, 18, serta Khaja, 12.
Dari keempat-empat anaknya, hanya Khaja sahaja yang dikhuatiri mewarisi penyakit Umar dan ia sering membuat lelaki tua yang malang itu bertambah kecewa dengan nasibnya.
“Pada mulanya saya fikir semua anak saya selamat dari penyakit saya ini dan saya melegakan saya untuk seketika sahaja. Namun apabila tubuh Khaja mula memperlihatkan ketumbuhan dan ketulan seperti saya, saya sangat kecewa,” katanya penuh kesal.
Menurut pakar onkologis, Dr. Chilukuri Srinivas, penyakit yang dideritai oleh Umar itu dikenalik sebagai Neurofibromatosis dan belum ada penawar atau ubat yang mampu mengubati penyakit itu buat masa ini.
“Ia agak jelas kepada saya bahawa dia mempunyai kes yang teruk – Neurofibromatosis.
“Sehingga kini belum ada ubat untuk penyakit ini dan ia satu keadaan yang sangat tidak selesa… namun saya tak mampu nak berbuat apa-apa untuk dia atau anak lelakinya,” jelas doktor pakar tersebut.
Neurofibromatosis yang dihidap oleh Umar dan anaknya itu tidak mendatangkan sebarang kesakitan pada tubuh mereka namun ia menyebabkan kegatalan pada kulit apabila berpeluh dan memerlukan penjagaan rapi setiap masa.
Namun sudah pasti bahawa perkara yang paling menyakitkan pada pesakit itu ialah penghinaan oleh mereka-mereka yang enggan mengerti tentang erti hati dan perasaan seorang manusia yang diuji Allah SWT.
thanks mynewshub